Oleh Johan Ishak
www.kopihangtuah.blogspot.com
WARGA PENONTON KANDUNGAN TELEVISYEN atau filem, tidak kira di kaca televisyen, di panggung wayang ataupun di platform internet dan media sosial, seharusnya mengambil maklum, jika anda menonton di platform-platform lanun, anda adalah perompak juga. Ini adalah dilarang dari segi undang-undang dan tindakan boleh diambil oleh pihak penguasa kepada pengguna dan juga lanun-lanun berdasarkan Konvensyen Berne dimana Malaysia adalah ahlinya.
Jika di United Kingdom, pihak polis dapat mengesan pengguna yang mencabul harta intelek melalui internet dan hukuman dikenakan dengan setimpal termasuk hukuman penjara dan saman. Di Malaysia, ini perlu dilaksanakan oleh pihak Kerajaan secepat mungkin. Pihak penonton digalakkan untuk melaporkan mana-mana laman lanun kepada pihak penguasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Organisasi Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan juga kepada pemilik kandungan seperti Media Prima dan Astro.
Penonton seharusnya membantu industri kreatif Malaysia dengan menentang cetak rompak dan platform-platform lanun dan bukannya terus menonton sesuka hati. Jika penonton terus memberi sokongan terkutuk ini, maka hancurlah nanti industri kreatif Malaysia. Dengan bersikap tegas, anda dapat membantu pengiat seni industri tempatan untuk terus mencari rezeki. Apabila penonton menonton di platform yang sahih, bayaran royalti akan mengalir dari platform-platform tersebut kepada pemilik kandungan. Tambahan pula, pengiraan penonton di televisyen contohnya, memberikan statistik sihat dimana wang pengiklanan juga akan mengalir kepada pemilik stesen televisyen.
Pengaliran ekonomi yang sihat dari penonton dan pengiklan membolehkan pemilik kandungan dan stesen televisyen untuk terus mempunyai keupayaan modal untuk membayar artis-artis dengan sewajarnya. Pendapatan yang sihat ini menggalakkan pertumbuhan sumber rezeki pengiat-pengiat seni. Apabila dibayangkan berjuta-juta wang Ringgit yang tertiris kepada lanun, tidak hairanlah jika wang yang halal kepada pengiat seni semakin lama semakin berkurangan. Hal ini seumpama dengan gaji bulanan anda yang dirompak dengan sewenang-wenangnya. Kita perlu perangi perompak sedemikian.
Contoh platform lanun adalah seperti yang tertera di dalam pesanan Johan Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, kepada laman lanun pada 5 November 2018 seperti berikut, "Kepada Admin Facebook Kepala Bergetar dan Instagram @kepalabergetar. Sila padamkan semua kandungan yang berkenaan dengan TV3, TV9, ntv7 dan 8TV. Jika pihak kami masih menjumpainya, kami akan ambil tindakan undang-undang berdasarkan tuduhan cetak rompak harta intelek kami"
Banyak lagi kesilapan-kesilapan yang diperlakukan oleh warga umum. Jika 10 tahun yang lepas, cakera padat (CD) cetak rompak berleluasa di pasaran, kini teknologi membolehkan kelakuan baru seperti merakam persembahan di konsert atau filem di pawagam. Ada diantara mereka meletakkan rakaman tersebut di media sosial seperti Facebook, YouTube dan Instagram. Jika rakamannya hanyalah beberapa minit sahaja, mungkin ianya dapat dimaafkan kerana ianya mempunyai sifat promosi percuma kepada pengusaha kandungan. Tetapi ada kes dimana keseluruhan filem atau episod drama telah dicabul.
Apabila ditemubual, Datuk Izham Omar, selaku Pengerusi Forum Komunikasi dan Kandungan Multimedia (CMCF) berhasrat untuk mengetengahkan hal ini secara serius kepada Pengerusi SKMM agar pihak Kerajaan dapat menggubal polisi dan rangka tindakan penguatkuasa yang lebih efektif dalam membenteras lanun industri. Menurutnya lagi, peranan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios adalah untuk menjaga harta intelek kandungan Media Prima Berhad. Apabila dikaji, laman-laman lanun yang dibenterasnya pada bulan Ogos dan September 2018 menjangkau ratusan laman yang mendapat tontonan umum setinggi 40 juta tontonan. Ini amat menyedihkan industri kreatif tanahair kerana tirisan tersebut adalah penghancur sumber rezeki industri.
Oleh itu, marilah ramai-ramai kita membenteras lanun-lanun durjana tidak kiralah di internet, di media sosial mahupun CD cetak rompak. Sesungguhnya kegiatan lanun adalah se'dosa' dengan perompak, pencuri dan jenayah-jenayah lain. Semestinya sikap lanun ini hina dari segi undang-undang mahupun agama. Rakyat Malaysia secara amnya dan Kerajaan Malaysia secara khususnya perlu bertindak dengan kadar segera sekiranya mahu memperkembangkan industri kreatif negara dengan pengaliran ekonomi yang sihat dan halal.
0 comments:
Post a Comment