01 January 2019

Budaya Harta Intelek (IP)

Oleh Johan Ishak
www.kopihangtuah.blogspot.com


HARTA INTELEK, atau lebih dikenali sebagai Intellectual Property (IP), adalah satu terma yang tidak asing bagi produk kandungan dan hiburan di dalam industri kreatif negara. Ianya merangkumi pelbagai segmen seperti filem, animasi, program TV, muzik, fesyen, kraftangan, kesusasteraan, seni visual, seni persembahan teater dan banyak lagi. Malah, industri-industri yang lain juga mempunyai IPnya seperti industri sains dan teknologi, teknologi maklumat, pertanian, pendidikan dan sebagainya.

Dari segi komersil, IP seringkali merangkumi majoriti nilai aset sesebuah perniagaan kandungan. Sebagai contoh, filem, muzik, produksi tv, permainan video, aplikasi digital dan sebagainya. Nilai aset ini berputik dari pelaburan ke dalam kos pembangunan IP-IP tersebut. Kemudian, secara aktuari, penilai bertauliah akan membuat suatu set andaian dimana potensi jualan hak IP di masa hadapan dapat dianggar untuk tempoh hayat komersil IP tersebut. Dari situ, berdasarkan 'Kos Pendapatan Peluang' (Opportunity Cost), jualan potensi tersebut akan dinyah kompaunkan balik kepada waktu semasa untuk mendapat nilai IP tersebut.

Sesuatu peniagaan perlu memberikan pulangan yang lebih berbaloi dari pelaburan ke dalam unit amanah ataupun simpanan tetap bank. Makna kata, jika pulangan dari unit amanah adalah 7% setahun, maka pulangan untuk perniagaan perlu lebih tinggi dari 7% setahun. Berbalik kepada hal nyah kompaun tadi, andaikata 10% adalah pulangan yang dianggap berbaloi, maka itu lah Kos Pendapatan Peluang. Dengan ini, apa-apa potensi jualan di masa hadapan bolehlah dinyah kompaun ke waktu semasa untuk nilai IP yang saksama.

Secara logik, menggunakan andaian 10% setahun tadi, setiap RM1 perlu mendatangkan 10% pulangan setahun untuk setiap tahun di dalam jangka hayat IP tersebut. Sebagai contoh, pelaburan ke dalam pembikinan filem sebanyak RM10 juta perlu memberi pulangan RM10 juta untuk membayar balik kos dan juga lebihan RM1 juta setiap tahun selama mana ianya boleh diperah. Ini adalah berdasarkan matematik mudah. Jika dimasukkan elemen kompaun, setiap tahun ekspektasi pulangan lebihan akan meningkat dari RM1 juta setahun ke jumlah yang lebih tinggi.

Sistem penilaian dan pendaftaran IP sudahpun wujud di Malaysia di bawah kelolaan Malaysian Intellectual Property Organisation (MyIPO), dimana, penilaian aset IP ini dapat digunakan sebagai pengiktirafan kukuh nilai aset yang membolehkan cagaran di bank bagi peluang pinjaman bank. Sayangnya, kebanyakan bank komersil masih alah (allergic) kepada perniagaan yang bertulang-belakangkan IP. Setakat ini, cuma agensi-agensi Kerajaan seperti MyCreative Ventures dan Malaysian Debt Ventures sahaja yang menerima penilaian IP sebagai aset yang boleh diterima-pakai untuk tujuan cagaran pinjaman kewangan perniagaan.

Budaya IP masih lemah dari pelbagai aspek. Lemah dari segi pengiktirafan. Lemah dari segi pelaburan kewangan. Lemah dari segi pengawalan hak cipta. Lemah dari segi pengstrukturan transaksi perniagaan. Lemah dari segi implimentasi hak undang-undang. Lemah dari segi penghormatan. Lemah dari segi pendidikan. Kesemua kelemahan ini perlu dicari remedinya. Pihak Kerajaan serta swasta perlu sama-sama berganding bahu memperhebatkan lagi dunia IP ini terutamanya dari segi pembenterasan lanun- lanun durjana yang bermaharajalela di atas pentas samudera internet dewasa kini.

Pihak-pihak seperti Polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), MyIPO, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNK) perlu memberi sokongan padu bersama syarikat-syarikat media seperti Media Prima dan Astro untuk menghukum dengan setimpalnya lanun-lanun IP durjana tersebut. Ini termasuklah konsumer-konsumer yang juga bersifat seperti lanun. Perkara ini bukannya baru diwujudkan. Malah, Malaysia adalah ahli kepada Konvensyen Berne yang menjadi rujukan antarabangsa bagi semua hal-hal IP.

Baru-baru ini terdapat banyak peristiwa peng'lanun'an IP dimana rakyat Malaysia masih gagal menghayati 'Budaya IP'. Sebagai contoh, ada dikalangan kita masih merakam filem di dalam panggung wayang dan mengongsinya di laman Facebook. Ada juga penjualan Set-Top Box swasta yang sewenang-wenangnya meletak kandungan TV ke atas platform mereka tanpa persetujuan ataupun hak yang sah dari segi undang-undang. Pendek kata, mereka ini adalah lanun yang durjana. Marilah kita sama-sama memerangi lanun IP.


0 comments:

Post a Comment