www.kopihangtuah.blogspot.com
Tajuk: Kasino
Penulis: Saifullizan Tahir
Genre: Fiksyen/Politik
ISBN: 978-967-10384-4-4
Penerbit: Buku Fixi
Tahun: 2011
"..... kesemuanya penuh dengan dosa dan maksiat. Namakan saja, semua ada: Arak, seks, pelacuran, perempuan simpanan, maki hamun, gangterism, pergaduhan, rasuah, penipuan, corruption, politik kotor, perceraian, pembaziran wang dan, kongruen dengan tajuk novel ini, semestinya perjudian bermaharajalela"
aifullizan Tahir, atau lebih dikenali sebagai Chep oleh rakan-rakan seperjuangannya di Australia, membuka mata pembaca novel Melayu. Novel ini bukan novel Melayu typical seperti buku-buku cinta dan romantis ataupun buku-buku serius seperti karyaan A. Samad Said dan sasterawan yang sewaktu dengannya. Novel ini adalah novel Melayu New Wave terbitan Buku Fixi. Banyak lagi buku-buku terbitan Buku Fixi yang seangkatan dengan Kasino tetapi buku ini menarik perhatian aku disebabkan oleh tajuknya, Kasino.
Aku tahu Chep, Arkitek Landskap yang berasal dari Segamat, Johor yang mendapat peluang belajar di Melbourne, Australia, mendapat ilham dari Crown Casino, sebuah kasino tersohor di Australia yang bertempat di tebing Sungai Yarra. Sememangnya penghalusan jalan cerita Kasino ini menonjolkan suasana yang familiar bagi Chep (dan juga aku) terutamanya bila memori diungkap dan nostalgia memberi senyuman di bibir. Diantara ungkapan yang releven adalah petikan di bawah di mana Chep pernah tinggal di rumah yang aku pernah tinggal (lihat foto di bawah):
"Rumah aku bersebelahan dengan kelab malam The Warehouse, happening, memang happening. Dengarnya kawasan itu sudah menjadi kawasan posh. Lagipun rumah lamaku yang terletak di Claremont Street itu hanya beberapa meter dari Chapel Street yang terkenal dengan deretan designer's boutique".
Sedutan cerita di atas sudah cukup untuk menggambarkan gaya bahasa yang digunakan. Memang buku ini di dalam Bahasa Malaysia tetapi di mana perlu, untuk mewujudkan rasa realist yang dekat di hati pembaca, perkataan-perkataan lucah (Contohnya p****k) dan Bahasa Inggeris yang selalu diguna pakai oleh orang Malaysia juga diselit. Ini bukan bermakna ianya bahasa pasar. Novel ini masih menggunakan Bahasa Malaysia yang standard. Alah! banyak novel-novel di Great Britain dan Amerika Syarikat yang menyelitkan Bahasa Perancis dan Sepanyol serta menggunakan bahasa lucah seperti f**k dan sebagainya. Laku juga buku-buku tu. Berkembang juga seni literature.
Oleh kerana perjalanan cerita Kasino ini berdasarkan kepada kata hati dan pemikiran seorang karakter, Dato' Mohd Narcissus Yussof, ianya perlu menerampilkan sifat-sifat yang logik bagi karakter tersebut seperti yang ditonjolkan oleh Chep di dalam penulisannya. Maka, tidak hairanlah cebisan Bahasa Inggeris digunakan untuk menyemarakkan lagi karakter Dato' ini yang kononnya juga berpelajaran tinggi dari Australia. Tambahan pula, perbualan diantara karakter-karakter di dalam Kasino banyak melibatkan perbualan yang biasa di dalam hidup orang Malaysia di masa kini. Lihat saja review aku ini. Penuh dengan selitan Bahasa Inggeris yang diitalickan di dalam lautan Bahasa Malaysia.
Dato' Narcissus sememangnya jujur orangnya. Dia bercerita sepanjang-panjang novel ini penuh dengan keterangan yang teliti tanpa rasa segan dan silu walaupun kesemuanya penuh dengan dosa dan maksiat. Namakan saja, semua ada: Arak, seks, pelacuran, perempuan simpanan, maki hamun, gangterism, pergaduhan, rasuah, penipuan, corruption, politik kotor, perceraian, pembaziran wang dan, kongruen dengan tajuk novel ini, semestinya perjudian yang bermaharajalela. Kasino adalah cerita mengenai kesuntukan. Kesuntukan masa. Kesuntukan wang. Kesuntukan kedamaian. Segalanya penuh dengan suspense. Segalanya berlalu dengan pantas dan penuh dengan perhitungan terperinci dari satu babak ke satu babak. Setiap langkah perlu diambil kira - untung atau rugi - kerana apabila tiba masanya, Narcissus perlu bertemu kedamaian. Jika tidak, dia (Dato') ke penjara!
Sebagaimana ramai usahawan Bumiputera, Dato' Narcissus juga membuat wangnya yang bermillion itu melalui kontrak-kontrak kerajaan. Kerajaan, tahulah kerenah mereka. Kalau nakkan kerja dijalankan, ditekannya kontraktor. Tapi, bila tiba masa untuk membayarnya, bertahun-tahun penungguannya. Apa yang lebih rumit ialah, tiba-tiba, projek dibatalkan! Hancur! Berderai! Memang meruncing jantung dibuatnya. Itulah yang dirasakan Dato' ini. Tergamam beliau apabila RM3.8 million yang sudah dibelanjakan untuk satu projek kerajaan terpaksa dipulangkan kembali akibat penukaran fikiran ahli politik - Menteri Besar sebuah negeri yang kononnya diperintah oleh parti politik yang berbangkang kepada parti politik yang memerintah negara.
Di dalam kerumitan ini, Dato' Narcissus bergelut dengan pelbagai cabaran yang mendatang pada masa yang tidak sesuai ini. Pergaduhan dengan kedua-dua perempuan simpanannya, isu perceraian dengan Datinnya, kesuntukan wang dari projek-projeknya yang lain, aksi pergaduhannya dengan Mat Motor yang membelasahnya dan yang paling merumitkan ialah risiko pendedahannya dalam projek kerajaan yang banyak menimbulkan prasangka dan kebarangkalian tuduhan pecah amanah duit kerajaan negeri dan yayasan-yayasan non-profit organisation.
Apa yang pelik dengan Dato' ini ialah konsep agamanya. Dia Islam. Ya! tapi hidupnya penuh dengan maksiat dan dosa seperti yang telah diperincikan di atas. Namun begitu, beliau tetap tidak meninggalkan sembahyang. Walau jahat mana sekali pun perbuatannya, mesti dicari waktu untuk menunaikan Solat. Memang pelik orangnya. Di dalam satu babak, selepas beliau bersetubuh, beliau bersyukur dengan Tuhan akan nikmat yang dirasakannya itu. Pelik sungguh. Agaknya inilah konsep agama manusia-manusia moden dewasa kini. Dato' Narcissus juga tidak keberatan untuk menerangkan pengalaman silam beliau yang kononnya membentuk peribadinya kini, apabila Agama dipertikaikan. Simplifikasi sedutan cerita dari novel Kasino di bawah mungkin dapat memberi sedikit penggambaran ini:
"Di dalam syurga terdapat empat sungai yang mengalir dari sumber Kausar, sungai yang airnya tidak berubah rasa dan warna, sungai susu, sungai madu dan sungai air perahan anggur," terangnya (ustazah) dengan nada yang mendatar. Seorang murid bertanya, "Air perahan anggur tu apa?". Ustazah menjawab "Arak". Kemudian Narcissus bertanya, "Kalau susu dan madu boleh diminum, kenapa tidak arak?". "Arak tu kan haram", kata ustazah. "Tapi saya nak masuk syurga untuk minum arak", ujar Narcissus lagi. "Isshhh, arak tu kan memabukkan dan menyebabkan kemungkaran. Kenapa awak nak minum arak pulak?" tanya ustazah. Dengan selambanya Narcissus menjawab, "Habis tu, kenapa arak jadi minuman ahli syurga?"
Dengan terbentuknya kekurangan keyakinan Narcissus terhadap ustazah beliau, bermulalah satu pembentukan karakter yang tersendiri. Karakter yang logik tapi pelik. Memang aneh Dato' ini. Tetapi, kalau difikirkan adegan ustazah tadi, memang mana-mana anak pun akan keliru dan akhirnya menjadi disebalik apa yang sepatutnya pendidikan kecapi. Sungguh releven isu ini kerana pendidikan agama itu akan menyesatkan jika guru-gurunya tidak berdaya menguasai psychology anak-anak yang menyerap ilmu bagaikan sponge.
Berbalik kepada RM3.8 million. Beliau perlu membayar kesemuanya balik kepada yayasan tertentu. Jika tidak, ia akan menjadi isu besar yang membabitkan beliau, Menteri Besar dan ramai lagi pegawai-pegawai kerajaan yang terjebak di dalam wang kotor projek politik yang kini perlu dihentikan serta-merta. Penat sudah Dato' ini mengorek wang dari simpanan beliau, dari orang-orang yang berhutang kepada beliau, daripada penjualan pelaburan-pelaburannya dan banyak lagi skim-skim yang dicubainya di dalam tempoh yang singkat. Tempoh yang sememangnya singkat - 15 hari!. Maka, apabila terdesak, bagi Dato' yang mempunyai pegangan agama yang aneh ini, semua benda haram jadi halal - "... bukan begitu di dalam peperangan?", kata beliau di dalam satu babak. Apabila semua gagal, akhirnya ke kasino.
Di kasino beliau beraksi. Oleh kerana tajuk novel ini pun dah Kasino, sememangnya puncak ahram ceritanya pun berlegar disekeliling aksi Dato' Narcissus dalam peperangannya mendapatkan RM3.8 million melalui perjudian. Apakah penghujung cerita Dato' yang aneh tapi mantap ini? Dipenjarakan ke? atau tidak? Haha! memang tidak adil jika aku berterus-terang di sini. Tidak adil kepada Chep dan Buku Fixi. Tidak adil kepada dunia kesusasteraan Bahasa Melayu moden. Tidak adil sebab anda perlu membaca Kasino secara keseluruhannya untuk mendapat nikmat yang dihasratkan oleh penulisnya. Ada banyak lagi subsidiari-subsidiari cerita sampingan di dalam Kasino ini yang memberi kesan yang lebih menyeluruh - sebagai contohnya, adegan-adegan seks beliau dan pelbagai aktiviti sampingan beliau yang menampakkan beliau sebagai seorang Dato' moden, kacak, bergaya, ada class! dan slick! - menjadi buruan wanita sana-sini. Bacalah! Memang mantap! Inilah dia novel Melayu moden yang ditunggu-tunggukan. Kontemporari, kontroversi dan sophisticated.
* kopihangtuah
| mcmlxxv:viii:xxix |