www.kopihangtuah.blogspot.com
Mana Melayu nak pergi? Nak lari pergi Singapura? Tak payah. Melayu macam habuk di sana. Nak pergi Brunei? Orang Brunei pun tak ingin. Mereka tak mahu berkongsi kekayaan dengan 20 juta Melayu dari Semenanjung. Nak pergi Indonesia? Hmmm,.. orang Indonesia datang sini adalah.
ELAYU bukan sahaja nama satu bangsa. Melayu juga boleh dikategorikan sebagai satu sifat. Mungkin Melayu akan marah apabila sifat-sifat tersebut diketengahkan sebagai unsur-unsur negatif. Salah siapa kalau ianya begitu? Aku pun Melayu. Tapi kenapa aku pun boleh berasa begitu negatif tentang Melayu? Mungkin Melayu itu sendiri silap tatacaranya apabila berdepan dengan dunia. Tersilap strategi apabila berdebat dengan yang bukan Melayu. Terlupa diri bila sudah gah berkuasa. Tersepit diri apabila terjunam jatuh kerana bodoh sombong? Wallahualam. Yang aku tahu, aku bangga menjadi seorang Melayu,.... tetapi, pada masa yang sama aku malu dengan tabiat Melayu yang merosakkan nama Melayu itu sendiri.
Aku boleh puji Melayu.... No Problem! tapi, adakah itu akan membangunkan Melayu lagi? Biarlah yang lain puji Melayu. Untuk hari ini, biarlah aku ketengahkan sifat-sifat Melayu yang perlu diperbaiki ataupun dibuangkan sama sekali. Jangan salah anggap. Aku ni Melayu. Aku tidak lupa diri. Aku bangga menjadi Melayu. Aku bangga dengan ramai lagi Melayu yang berjaya. Cuma, ada sekerat dua kerat Melayu yang seolah-olah menghancurkan nama baik Melayu yang dibina oleh Melayu-Melayu yang berjaya. Kita nak terus maju jayakah? Atau, kita nak dihumban kembali menjadi hamba di negara sendiri? Kita layu atau kita maju? Kalau tanah Malaysia ni pun Melayu tak boleh jaga, mana Melayu nak pergi? Nak lari pergi Singapura? Tak payah. Melayu macam habuk di sana. Nak pergi Brunei? Orang Brunei pun tak ingin. Mereka tak mahu berkongsi kekayaan dengan 20 juta Melayu dari Semenanjung. Nak pergi Indonesia? Hmmm,.. orang Indonesia datang sini adalah.
Jadi macam mana? Kita kekal di Malaysia ni. Maka kenalah kita perbaiki apa Melayu itu mewakili. Pada firasat akulah, antara unsur-unsur yang perlu diperbaiki adalah 10 perkara berikut:
MALAS itu satu sikap yang amat ketara dalam golongan Melayu. Walaupun salah kalau kita stereotaipkan sifat Malas ini dengan Melayu, sudah terlampau banyak contoh-contoh yang Melayu itu senang malas apabila dibandingkan dengan bangsa bukan Melayu, khususnya bangsa Cina. Ini memang pemerhatian aku sendiri. Aku pernah bekerja di firma perakaunan. Aku pernah bekerja di syarikat yang tersenarai di bursa saham. Aku pernah bekerja di agensi kerajaan dan aku juga pernah bekerja di luar negara. Dalam kesemua-semua pekerjaan tersebut, bangsa Cina menunjukkan kerajinan yang tak sanggup aku sendiri ikut. Ini memang perkara benar. Apabila Cina melihat jarum jamnya pukul 6 petang, dia sedang mengira berapa jam lagi dia ada untuk menghabiskan kerja sebelum dia penat mengantuk. kalau Melayu, ewahhhh!!!!! time untuk punch card. Lihat sahaja berapa banyak anak-anak Melayu yang menghampakan bangsa apabila balik dari luar negara tanpa ijazah kerana gagal. Wang rakyat yang diamanahkan sebagai biasiswa hilang begitu sahaja. Mana pergi amanah Melayu-Melayu tersebut? Perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap.
KETERAMPILAN adalah satu sifat yang sangat efektif dari segi sikologinya. Kadang-kadang seseorang itu tidak perlu bagus pun dalam pekerjaannya. Kalau pandai putar bergaya, dapatlah pujian. Dapatlah bonus bila Boss suka pandang. Dapatlah apa pun yang dikejar. Hipokrit. Ya mungkin, tapi bila bukan Melayu berketerampilan, Melayu dengki. Cubalah kalau kita belajar keterampilan diri yang menarik hati. Kalau nak simpan janggut dan misai tu, kasi trimlah sikit. Janganlah berpakaian selekeh. Bukannya kena beli pakaian mahal. Cuma kena nampak smart sahaja. Bila ke majlis separuh rasmi, janganlah mengambil kesempatan memakai tshirt leher bulat terus. Usahalah pakai tshirt berkolar ke? Cubalah berkumur listerine ke? Kasi tutup luka-luka di gusi supaya mulut tak berbau. Bila dah tua besar macam gajah, ketiak tu busuk kalau berpeluh. Kalau risaulah sangat deodarant ada alkohol, carilah yang halal. Banyak produk halal kat negara ni. Kita bukannya Singapura. Perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap.
TUTURBAHASA dewasa ini pun makin terlampau kekurang-ajaran intonasinya. Tak kiralah Melayu ataupun bukan Melayu. Kalau boleh yang Melayu tu usahlah kita emosi banyak sangat. Kenapa nak maki hamun sana-sini. Apabila aku belajar dan bekerja di luar negara selama 9 tahun memang banyak aku perhatikan bangsa asing yang mulut tak berinsuran (kebanyakkannya Orang Putih). Asyik dok F@#K sana F@#K sini. Dia ingat dia ranggi. Tapi dia rugi. Sebab apa? Sebab orang pandang rendah. Apabila aku balik ke tanahair sudah banyak bezanya orang Melayu kita. Kalau yang reti Bahasa Inggeris memang kerja nak maki F@#K sahaja sana-sini. Yang tak reti Bahasa Inggeris tidak kurang hebatnya dengan P@#I, B#$%H dan banyak lagi perkataan-perkataan yang kurang selesa didengar. Kalau kita nak orang dengar pendapat kita, lebih-lebih lagi nak berdakwah, adakah ini caranya? Mungkin tidak (Seharusnya Tidak!). Perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap.
KEYAKINAN diri merupakan faktor kedua terpenting selepas ilmu. Melayu banyak yang pandai-pandai tetapi apabila diajak berunding atau berbicara, terus malu tersipu-sipu. Kononnya sifat Melayu pemalu. Mana kau belajar? Melayu tak tersipu-sipu malu. Melayu berani. Bukalah mulut. Keluarkan suara. Ujarkan pendapat. Pernah aku menemuduga pelajar-pelajar Melayu tahun akhir di universiti-universiti di England. Keputusan peperiksaan semua hebat-hebat belaka. Kalau tak kelas pertama, kelas kedua atas pun memang amat membanggakan. Tetapi,.... alangkah sedihnya apabila ditemuduga, sepatah haram pun tak boleh keluar dari mulut. Macam mana boleh dapat kelas satu keputusan peperiksaan? Apa mungkin pelajar-pelajar ini semua lemah Bahasa Inggerisnya? Pernah juga saya menemuduga pelajar Malaysia berbangsa Cina. Walaupun Bahasa Inggerisnya hancur lingkup selingkup-lingkupnya (mungkin terlampau khusyuk di Sekolah Cina), beliau masih cuba menjawab soalan-soalan aku dengan sedaya-upayanya. Broken Englishnya tidak menjadi penghalang untuk dia berusaha. Aku rasa, ini mesti disebabkan keyakinan diri seseorang itu. Kena ada keyakinan diri. Perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap.
GLOBALISASIKAN Melayu. Jangan kita tersekat di bawah tempurung. Hanya dengan mewujudkan slogan-slogan maju jaya tidak cukup. Itu umpama menebuk tingkap di dinding tempurung sahaja. Katak perlu lompat. Lompatlah katak. Apa lagi tunggu? Macam mana agaknya kita perlu mengglobalisasikan Melayu itu? Apa yang mungkin tersiar di benak jiwa semua orang ialah teknologi, pemodenan, penguasaan ilmu, kemahiran industri dan pelbagai lagi kata-kata kunci pembangunan manusia. Semua ini hanya akan berjalan lancar jika maklumat dapat diserap dan diagihkan dengan efektifnya. Macam mana nak peroleh ilmu bila bahasa yang ilmu itu dibukukan kita tidak dapat menguasai? Sebanyak mana pun kita cintakan Bahasa Melayu, kita kena sedar yang Bahasa Melayu itu Lingua Franca di zaman Tok Kadok. Zaman Hang Jebat, Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang (Tiara) pun reti cakap Bahasa Inggeris. Aku ada seorang kawan dari kampung yang dahulu tak reti berBahasa Inggeris. Setelah beliau belajar dengan tungkus-lumus, beliau dapat menjadi manusia intelek (seorang kapitan kapal antarabangsa). Pernah aku bertanya, "Apa faktor utama anak kampung berjaya macam kau?" Jawabnya, "Kalau Bahasa Inggeris kita tak dapat kuasai, lupakanlah saja angan-angan nak terbang di persada antarabangsa." Perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap.
KEUSAHAWANAN mungkin sudah tersemat di sanubari bangsa Cina sejak azali. Mungkin di negara Cina cuaca 4 musim memaksa mereka berdikari mencari rezeki; manakala, Melayu di hutan tropika senang menangkap ikan, memetik ulam tanpa cuaca yang merumitkan. Hello! Podah! Itu sejarah apa tu? Jangan kau persalahkan sejarah. Melayu senang selesa dan tidak mahu bersusah-payah. Dari zaman British lagi kita sering mencari kerja-kerja yang rendah risiko. Kerja yang ada pencen. Kerja yang tidak mungkin majikan membuang warga kerjanya dan sebagainya. Kalau Melayu berduit sikit, mulalah besar keretanya. Mulalah bertukar perabotnya. Mulalah berkahwin dua, tiga ataupun empat. Kalau boleh, kahwin lima. Sebab tak boleh, simpan perempuan pun jadi. Semasa aku berumur 7 tahun, seringkali aku ke Pasar Seksyen 6 Shah Alam untuk membeli Tau Fu Fa dari seorang apek Cina yang dibantu oleh anak lelakinya yang juga berumur 7 tahun. Apabila berumur 13 tahun, aku sudah hilang ke sekolah asrama dan kemudian terus belajar di luar negara. Apabila aku pulang ke tanahair beberapa tahun kemudian, aku ke pasar semula. Aku bertanya, "Apek, mana lu punya anak?" Jawab Apek, "Aiyaa, gua sudah hantar dia belajar di New Zealand." Macamana tu? Jual air soya dan Tau Fu Fa pun boleh hantar anak belajar luar negara yang dibiayainya sendiri? Apek tersebut cuma mampu menjawab, "Simpan wang sikit-sikit sampai jadi bukit. Sikarang dia sudah belajar, nanti dia balik Apek mau rehat tak mau kerja. Biar anak kerja jadi doktor. Biar anak kasi makan sama saya." Di mana Melayu kita apabila perbandingan dibuat? Perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap.
KEMASYARAKATAN bermakna berganding bahu sesama sendiri. Banyak sebenarnya Melayu bekerjasama sesama sendiri. Tetapi ada segolongan Melayu yang berhati busuk dan berhasat dengki. Kalau ada jiran yang maju, terus dihina dan dicaci. Terus difitnah dengan pelbagai cerita busuk. Yang paling menyedihkan, ada yang pakai santau dan ilmu hitam. Apa sudah jadi? Kaum Cina berkembang pesat perniagaan mereka dengan cara membantu sesama sendiri. Usah dicerita Chinese Chambers of Commerce kerana di peringkat kampung pun Cina sesama sendiri saling menolong antara satu sama lain. Semasa di sekolah asrama dahulu aku selalu menghabiskan waktu pagi setiap Ahad menjamah nasi lemak di bawah pokok di Ipoh Garden. Entah apa nama makcik yang jual nasi lemak tu? Selepas beberapa tahun aku meninggalkan Ipoh, aku pernah kembali untuk berjumpa kawan-kawan lama. Aku hairan mengapa makcik nasi lemak sudah tidak berniaga; lalu aku bertanya, "Ehhh, apa sudah jadi dengan nasi lemak power tu?" Jawapan menyedihkan menyusul, "Entah bangsat mana pergi santau. Habis pelanggan semua lari. Kesian makcik tu." Perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap.
ISLAM adalah agama kebanyakkan Melayu. Islam itu suci. Islam itu progresif. Islam itu relevan tak kira zaman. Kalaulah Islam itu kontemporari, kenapa Melayu perlu menjadikan ia mundur. Kenapa perlu lupa yang Islam boleh dipakai walaupun di zaman moden. Kenapa Islam dijadikan sebab kerana sesetengah perkembangan itu disekat? Yang paling ketara ialah apabila seseorang Melayu itu mengejar kekayaan, dianya dianggap tidak berpegang kepada Islam. Kononnya terlampau keduniaan. Kalau hamba Allah tersebut tidak tinggal sembahyang dan sering mengerjakan fardu ain yang lain serta sesekali melakukan fardu kifayah, apa salahnya dia mengejar kekayaan. Orang Islam yang miskin hanya mampu beribadat untuk dirinya sendiri. Kalau ada pun untuk orang lain, mungkin di dalam doanya ataupun di dalam tahap mampunya dia bekerja tanpa gaji untuk aktiviti dakwah. Bayangkan jika orang Islam itu berduit. Bukan sahaja dia boleh beribadat untuk diri sendiri, dia juga boleh membolehkan orang lain beribadat. Kalau ada duit, seseorang Islam boleh membina masjid. Boleh membiayai anak yatim untuk ke sekolah. Boleh membayar gaji kepada ramai lagi pekerja-pekerja Islamnya. Mengapa perlu berfikir negatif? Kononnya kalau berduit senang berbuat dosa. Senang lupa dan sombong. Bila ada duit mula berbelanja tidak ingat akhirat. Mula berjudi dan meminum arak. Itu semua bergantung kepada pilihan. Orang miskin pun boleh berdosa. Malahan, orang miskin lagi senang berdosa. Apabila terdesak, mereka mungkin mencuri, melacur, memakan harta anak yatim, membunuh ataupun bergaduh sesama keluarga atas nama hak tuntutan harta sepeninggalan ayahanda. Terpulanglah. Perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap.
KEJUJURAN juga seringkali dinodai Melayu yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan sudah banyak menghulurkan dana dan subsidi. Wang rakyat ini bertujuan untuk memajukan negara khususnya orang-orang Melayu. Apa Melayu-Melayu ini sudah buat? Duit masuk poket dan perniagaan terbantut. Kononnya subsidi atau geran diperoleh untuk mengembangkan perniagaan, tetapi, kualiti produk yang dikeluarkan amat memalukan. Hanya sekadar menunjukkan adanya produk. Wang selebihnya sudah bertukar menjadi BMW ataupun Mercedes. Banyak juga yang menjual lesen-lesen perniagaan kepada bukan Melayu. Skim ini lebih dikenali sebagai Ali Baba di mana nama pemunya syarikat adalah Melayu tetapi operasi milikan bukan Melayu. Sampai bila Melayu boleh maju? Nampak gaya tak boleh langsung macam ini. Melayu mudah terpedaya dengan wang jangka masa pendek. Mereka tidak mahu melihat jangka masa panjang. Mereka tidak mahu bekerja keras membina perniagaan. Kalau ada yang nak beli lesen dengan harga lumayan, mengapa mesti tolak? Itu yang difikirkan. Lambat laun semua harta Melayu akan tergadai. Melayu akan jadi hamba di negara sendiri. Perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap.
KEBANGGAAN mungkin di mata sesetengah Melayu adalah sombong. Untuk aku, jika Melayu itu berjaya, perlulah kita banggakan. Kalau tidak, bukannya sombong, bodoh sombong adalah. Kita selalu mengecil-ngecilkan produk kita sendiri. Kita lebih gemar mengagung-agungkan produk Barat yang mungkin, kalau diteliti, jauh lebih rendah kualitinya dari apa yang difikirkan. Sudah banyak contoh orang Asia yang tidak menghiraukan Barat dan melaung-laungkan kehebatan mereka sendiri. Contoh paling ketara ialah jenama Samsung yang dapat menundukkan Apple. Hyundai pernah beberapa kali mendapat jualan kereta terbanyak di Australia. Begitu juga Toyota di Amerika Syarikat. Sony bukan sahaja menguasai bidang elektronik, ianya juga kuat di industri muzik. Di manakah jenama Malaysia? Kalau nak disedihkan lagi, di mana jenama Melayu? Air Asia India yang punya. Star Cruise Cina yang punya. Nama-nama terulung Malaysia di persada antarabangsa semuanya bukan Melayu seperti Tan Sri Michelle Yeoh, Dato' Jimmy Choo, Zangtoi dan ramai lagi. Kalau ada pun, Dato' Ramli Ibrahim. Itupun bukan tarian Melayu yang diketengahkan. Apa yang Melayu boleh tunjuk? Jus Mengkudu? Perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap.
Untuk kali terakhir, perlu aku ingatkan, aku bukan stereotaip ya. Ada Melayu yang bagus. Jangan salah anggap. Wassalam.
* kopihangtuah
| mcmlxxv:viii:xxix |