www.kopihangtuah.blogspot.com
Judul: Nota Kaki
Penulis: Dato' Johan Jaaffar
Genre: Kumpulan Tulisan Pelbagai Aspek
ISBN: 978-967-5875-00-7
Penerbit: Balang Rimbun Sdn Bhd
Tahun: 2010
"Saya menulis kesan dan tanggapan saya terhadap apa yang berlaku waktu itu, apa yang menarik perhatian saya, dan apa yang mengesankan saya... " Dato' Johan Jaaffar
OHAN (Dato') bukanlah nama baru di persada sastera negara terutamanya kepada mereka yang celik dengan perkembangan sastera di Malaysia. Beliau bukan sahaja meneraju Dewan Bahasa dan Pustaka, beliau juga pernah menjadi Ketua Pengarang di akhbar Melayu tempatan yang terulung, Utusan Malaysia. Walaupun akhbar tersebut beraruskan Bahasa Melayu tetapi Bahasa Inggeris beliau tidak kurang hebatnya. Janganlah sekali-kali mengeja 'Kechewa' atau 'Cherita' kerana beliau akan memperbetulkannya kepada 'Kecewa' atau 'Cerita'. Dan jangan sekali-kali Bahasa Inggeris menggunakan 'Organization' kerana Bahasa Inggeris yang sebetulnya (Bukan dari Amerika Syarikat) menggunakan 'Organisation'. Dengan kewibawaan seorang wartawan dan kreativiti teater yang menjadi darah daging, beliau diberi amanah untuk mengerusi kumpulan syarikat media kreatif yang terbesar negara, Media Prima Berhad. Malah, kejujuran dan sikap prihatin beliau memampatkan lagi fungsi Pengerusi yang disandang untuk pergerakan anti korupsi korporat.
Sememangnya banyak pengalaman yang anak-anak muda boleh pelajari dari beliau. Malah saya juga pernah bekerja dengan Dato' untuk beberapa tahun suatu masa tidak lama dahulu. Ungkapan beliau yang sampai sekarang masih tertera di pojok minda saya sehingga hari ini ialah, "On your way up be nice to everybody.... because you will meet them again,.. on your way down" (Dalam perjalanan menuju kejayaan, berbudilah kepada semua kerana apabila kamu jatuh tersungkur, kamu akan berdepan dengan mereka lagi!). Dato' Johan juga menambahkan lagi keyakinan yang orang yang bernama 'Johan' sememangnya 'Juara' dan 'Jaguh'. Maka tidak hairanlah jika dia merenung ke mata anda sambil berkata, "Never doubt the words that come out from anybody whose name is Johan" (Jangan sangsi jika sesiapa yang bernama Johan berkata-kata). Kepada yang bernama Johan di luar sana, bolehlah anda berbangga-bangga diri.
Mungkin dengan hanya menceritakan perwatakan dan pekerjaan Dato' tidak mencukupi untuk memahami apa yang beliau telah sumbang kepada tanahair. Sewajarnya, buku beliau 'Nota Kaki', kumpulan penulisan beliau semasa di Utusan Malaysia, perlu didalami. Ianya mengadungi penulisan yang merangkumi pelbagai aspek semasa yang kritikal sewaktu penulisannya dibuat. Antara subjek-subjek yang menarik datangnya dari bidang sastera, dunia hiburan, sukan, politik, kebudayaan, ekonomi, sejarah dan juga isu-isu berbangkit lain yang tidak kurang pentingnya seperti hal ehwal bangsa dan agama. Oleh itu, berilah seniman seperti Dato' Johan, suatu kelainan, suatu taraf apresiasi sebagai penyumbang ilmiah di dalam pembangunan tamadun yang bergelar Malaysia. Rangkap-rangkap yang berikut adalah sedikit sebanyak petikan ringkas dari penulisan beliau sebanyak 206 rencana kesemuanya. Tidak semua rencana dipetik. Semoga petikan-petikan ini dapat merangsangkan pembaca blog ini untuk membaca penulisan beliau yang terbuku sebagai 'Nota Kaki'. Terimalah:
TENTANG RONALDO, BULATNYA BOLA DAN GODZILLA. [15 Jun 1998]. Apabila pasukan Brazil, juara bertahan Piala Dunia menentang Scotland di Le Stade de France, Paris, Rabu lalu, sekurang-kurangnya 80 juta manusia di seluruh dunia menonton perlawanan itu. Jumlah ini sebenarnya kecil mengambil kira apabila pesta ini berakhir pada 12 Julai hadapan, lebih 2.6 juta manusia akan menyaksikannya di 10 stadium terpilih di Perancis sementara 37 billion manusia lagi akan menontonnya melalui TV.
SASTERAKU, SIAPAKAH SEBENARNYA PENDUKUNGMU? [29 Jun 1998]. Sekiranya minat terhadap sastera dijadikan ukuran, maka majalah sastera sepatutnya boleh dijual lebih 50,000 naskah sebulan di negara ini.
TRADISI MANGA: ANTARA SAMPAH DAN MINAT MEMBACA. [8 Jun 1998]. Melalui anak-anak, kita mengambil "Doraemon" watak si kucing robot yang digilai di TV dan dalam bentuk komik. Tidak banyak daripada kita yang tahu Doraemon merupakan salah satu cerita kejayaan Manga atau komik Jepun yang luar biasa. Ia bermula sebagai komik bersiri pada tahun 1970 terbitan Shogakkan, salah sebuah penerbit terbesar di Jepun. Komik itu telah dijadikan siri TV pada tahun 1979.
"SENARAI DR. M", KETELUSAN DAN ERA BARU. [22 Jun 1998]. Kelmarin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengeluarkan senarai syarikat dan individu yang memperoleh projek-projek penswastaan dan kontrak kerajaan setakat ini. Senarai itu 20 halaman panjangnya dan memuatkan 285 projek. Ia terbahagi kepada dua kategori, 171 yang telah mendapat kelulusan penuh dan 114 yang mendapat kelulusan prinsip.
KELUARBIASAAN YANG BERNAMA INDONESIA. [25 Mei 1998]. Apa yang berlaku di Indonesia seminggu dua ini memperkukuhkan keyakinan banyak orang bahawa Indonesia sesungguhnya unik, luar biasa dan sukar diduga. Tiada siapa yang menduga bahawa Presiden yang telah memerintah lebih 32 tahun akan tumbang di tangan anak-anak sekolah yang kian ini kurang terancang dan bersatu.
"GAWAT EKONOMI MASALAH ORANG KUALA LUMPUR!" [1 Jun 1998]. "Gawat bukan masalah kami," kata Alip Tubing (bukan nama sebanarnya) di kedai kopi Alang Siak. Dia baru saja pulang dari kebunnya. Dua tandan pisang nipah yang di kandarnya dijual dengan harga 40 sen sekilo. Setandan pisang itu tidak kurang 20 kilo. Dua tandan 40 kilo. Pagi itu saja, Alip dapat kurang lebih RM16.
TENGGELAMNYA KAPAL BERNAMA TITANIC. [18 Mei 1998]. Pada tahun 1808 seorang novelis yang baru mencipta nama menghasilkan cerita tentang sebuah kapal mewah yang membelah angkuh Lautan Atlantik. Penulis itu, Morgan Robertson memuatkan kapal rekaannya dengan penumpang-penumpang yang kaya serta mereka yang paling miskin. Kapal itu merempuh air batu terapung pada satu malam bulan April.
VIAGRA, PIL (YANG KHABARNYA) SELAMATKAN LELAKI. [11 Mei 1998]. Berita baik untuk lelaki, er, maksud saya mereka yang mempunyai masalah kelelakian. Pil ajaib sudah tiba. Namanya Viagra, Ingat nama itu, kerana buat masa ini, anda harus menahan nafas, nafsu dan sabra. Pil itu belum sampai ke kedai ubat anda yang terdekat!
SIAPA KATA EVEREST GUNUNG PALING TINGGI? [27 April 1998]. Pada 29 Mei 1953, pendaki New Zealand bernama Edmund Hillary dan seorang Sherpa bernama Norgay Tenzing menjejakkan kaki di puncak Everest. Pada 23 Mei 1997, dua pendaki Malaysia M. Nagapan dan M. Munisamy mencipta rekod kerana menundukkan gunung itu.
TENTANG RAJA, KESESAKAN DAN GADIS-GADIS PATPONG. [23 Mac 1998]. Lupakan sahaja nama sebenar Bangkok. Krungthep-maha-nkorn-boworn-rataa-kosin: Mahindar-ayudhya-amaha-dilok-pop-nopa-rataba rajthani-burirom-udom-rajniwes-mahasatrn-morn-pimarn-awatar-satit-sakittiya-visanukam. Lagipun tiasa siapa yang boleh mengingatnya.
CLINTON DAN TRAVOLTA: SIAPA LEBIH BERKUASA? [9 Mac 1998]. Jangan perkecilkan apa yang boleh dibuat oleh bintang-bintang terkenal seperti John Travolta, Tom Cruise, Courtney Love atau Sharon Stone. Mereka sebenarnya lebih berkuasa daripada Presiden Negara yang paling kuat di dunia, Amerika Syarikat.
LAGI, SUMBANGAN BANGSA YAHUDI DIBUKUKAN. [8 Disember 1997]. Buku The Jewish Contribution to the 20th Century tidak sekadar menyenaraikan 1,000 orang tokoh bangsa Yahudi. Lebih daripada itu ia memperingatkan bahawa dalam pelbagai bidang dan disiplin, terdapat orang Yahudi yang menjadi tokohnya.
ANTARA DIANA, MEDIA DAN SNOW WHITE. [8 September 1997]. Sesungguhnya Diana dalam matinya lebih berpengaruh dari sewaktu hidupnya. Istana Buckingham juga nampaknya harus tunduk pada "Puteri rakyat" itu. Queen Elizabeth terpaksa membuat titah diraja ekoran pengebumian Diana - sesuatu yang pelik dan luar biasa dalam sejarah system beraja Britain yang tebal dengan tradisi dan kaya dengan kesombongan.
SELAIN CANNES, YANG TINGGAL HANYA SUNDANCE? [19 Mei 1997]. Festival filem Cannes di Perancis berusia 50 tahun, tahun ini. Bagaikan manusia separuh usiam ia sepatutnya sudah mulai hilang glamornya. Tapi Cannes tidak pudar-pudar kerana ia sebenarnya pesta bintang-bintang.
POL POT, KEMATIANNYA TURUT DIRAGUI. [7 Julai 1997]. Jumlah sebenar tidak penting. Mungkin sejuta, dua juta atau ada yang menyebutkan empat juta orang yang mati di tangan beliau.
TENTANG TANDAS, WARUNG DAN SIKAP KITA. [28 Julai 1997]. Perdana Menteri mempunyai alasan untuk berasa kecewa dengan rakyat Negara ini. Sekalipun kita sudah jauh bergerak dari masyarakat pertanian kepada masyarakat berteknologi tinggi, terdapat beberapa aspek kehidupan yang nampaknya tidak berubah. Zaman telah jauh berbeza. Demikian juga sikap, nilai dan kecanggihan manusianya. Tetapi dalam hal yang melibatkan tandas, warung dan kedai makan sikap lama nampaknya masih berleluasa.
DUNIA FESYEN ANTARA GLAMOR, DADAH DAN KEMATIAN. [21 Julai 1997]. Dunia fesyen dikejutkan oleh kematian Gianni Versace, pereka jenama bernama sama, yang terbunuh di Miami, Amerika Syarikat pada pagi Selasa lalu. Gedung dan rekaannya mula bertapak hanya pada tahun 1976 tetapi akibat pendekatan pemasaran, cara memperaga dan iklan serta reka ciptanya, Versace menjadi jenama berprestij yang cepat dikenal dunia.
BOLEHKAH "NENEK TUA" MELAHIRKAN ANAK? [28 April 1997]. Berita seorang wanita berusia 63 tahun melahirkan seorang bayi perempuan di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini sudah pasti menarik perhatian. Moral ceritanya ialah. asalkan seseorang wanita itu mempunyai Rahim, dia boleh mengandung. Usia tidak lagi menjadi halangan. Sedangkan selama ini wanita yang berusia 40 tahun diperingatkan tentang "kesulitan" dan "bahaya" yang bakal mereka hadapi.
RUPANYA SUPERMAN "SI PENYELAMAT" BERBANGSA YAHUDI. [23Disenber 1996]. Tahukah anda bahawa Superman, salah satu wabak paling popular dalam kebudayaan popular dunia sebenarnya berbangsa Yahudi? Penciptanya ialah Jerry Siegel dan Joe Shuster yang menampilkan watak penyelamat manusia itu pada tahun 30-an.
APABILA TOLERANSI AGAMA SEMAKIN MENIPIS. [14 April 1997]. Pada Hari Raya Korban tahun lalu, bintang filem yang pernah terkenal kerana tubuh montoknya, Brigite Bardot (atau BB) mengecam umat Islam kerana melakukan penyembelihan ke atas haiwan atas nama agama.
APABILA DR. MAHATHIR SEBAK BERSAJAK. [6 Mei 1996]. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hanya mampu mengucapkan salam. Malah judul sajak "Perjuangan yang belum selesai" yang disebutkannya tidak jelas terdengar kepada ribuan hadirin. Dia sudah mulai sebak. Beliau mengagahkan diri membaca baris pertama sajak itu. "Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat, dari melihat bangsaku dijajah."
MARUAH MELAYU: ANTARA DAKWAT, KERTAS, PENULISAN. [16 Disember 1996]. Seorang pemimpin Melayu, dalam keghairahan membuktikan bahawa orang Melayu sebenarnya bangsa yang buta huruf dan tidak ada tradisi penulisan tergamak berkata bahawa bangsanya hanya mengenal kertas dan dakwat apabila Inggeris bertapak di sini.
SELEPAS BUAYA PUCHONG, SAWA SEGAMAT. [11 September 1995]. Kalaulah tidak kerana kejadian yang menimpa Ee Hen Chuan di Segamat, ular sawa sudah lama tidak menarik perhatian rakyat Malaysia. Dalam kejadian yang luar biasa itu, seekor ular sawa sepanjang hampir 7 meter dijumpai sedang dalam proses menelan penoreh getah malang itu.
TINGGI, LEBIH TINGGI, TERTINGGI. [14 Oktober 1996]. Dua daripada 100 bangunan paling tinggi di dunia hari ini letaknya di Kuala Lumpur. Itu pun kalau kedua-dua Menara Petronas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dikira dua bangunan berasingan. Dalam buku terbaru Judith Dupree, Skyscrapers, menara tersebut dikira berasingan, tiap satunya 450 meter (1,476 kaki) tinggi, telah mengalahkan Sears Tower di Chicago yang tingginya 443 meter (1,454 kaki).
BOM ATOM, HIROSHIMA DAN KEINSAFAN. [7 Ogos 1995]. Semalam, genaplah 50 tahun gugurnya bom atom di Hiroshima. Hari esok, genap pula 50 tahun bom kedua yang digugurkan di kota Nagasaki. Dalam kejadian pertama, bom yang diberi gelaran "Little Boy" yang mempunyai 20,000 tan bahan letupan TNT telah meratakan Hiroshima dan sekali gus membunuh 120,000 orang.
ANTARA ROBOCOP DAN DESPERADO. [24 April 1995]. Lim Kit Siang mungkin tidak pernah menonton filem Robocop. Atau mungkin juga hanya menonton filem yang pertama tetapi terlepas filem Robocop yang kedua dan ketiga.
* kopihangtuah
| mcmlxxv:viii:xxix |