14 June 2018

Jangan Salah Konsep Televisyen Tontonan Percuma




www.kopihangtuah.blogspot.com






Oleh Johan Ishak

WAHAI RAKYAT MALAYSIA (dan Singapura dan Brunei Darussalam) yang kami hargai. Kita ini adalah negara kapitalis terkawal dan bukan komunis. Bila ada stesen televisyen (TV) tontonan percuma atau "free-to-air" (FTA), maksudnya kita tidak perlu membayar fi subskripsi (Subcription Fee). Hanya iklan yang boleh mendatangkan wang untuk stesen TV. Maka tidak perlu mempertikaikan mengapa banyak iklan di waktu siaran.

Jikalau stesen TV tidak mengiklan di waktu siaran, stesen TV tidak akan mendapat kewangan yang berbaloi untuk membayar gaji,  membayar produksi drama, membayar teknologi siaran, malah tidak dapat membuat untung setimpal sebagai suatu unit perniagaan. Jangan sampai kena buat Tabung Harapan TV pulak? (Hanya melawak).

Sepatutnya jika penonton tidak mahu tengok iklan, boleh sahaja langgan di pelantar rancangan berbayar seperti tonton.com.my (ada ruangan percuma dan ruangan berbayar RM10 sebulan), iFlix (RM8 sebulan), Netflix (RM42 sebulan), DimSum, VIU dan sebagainya. Di negara asing, stesen TV berbayar (Pay TV atau Cable TV) yang kena dibayar subskripsi tidak ada iklan. Mungkin itu satu konsep yang perlu diketengahkan?

Apabila pihak stesen TV mahu manarik pengiklan, satu konsep sukatan, iaitu CPM, digunakan, dimana secara ringkasnya, untuk setiap RM1 duit iklan, pengiklan mahu sebanyak penonton yang boleh. Jikalau stesen TV menyiar dokumentari 1,001 Penggunaan Pokok Kelapa, sebagai contohnya, ramai penonton akan tidak endah. Maka konsep CPM tadi akan hancur ke laut dan tidak dapatlah duit iklan.

Apabila stesen TV menyiar drama "ustaz kawin pelacur", berduyun-duyun orang menonton sehinggakan apabila ada yang tersangkut di dalam 'trafik jam' untuk balik kampung semalam memaksa diri untuk melanggan tonton.com.my hanya untuk menyaksikan 'finale' siri drama TV3 bertajuk Nur melalui telefon bimbit.

Ada yang kecam jalan cerita seperti ini tetapi ramai juga yang menghargai nilai pengajaran 'berbaik sangka dan menolong sesama insan' yang dimenifestasikan oleh drama tersebut sehinggakan hampir 10 juta rakyat Malaysia (30% penduduk Malaysia) menonton siri Nur tersebut. Pihak pengurusan stesen TV3 amat berterima-kasih kepada rakyat Malaysia. Ini adalah sukses yang memberangsangkan sepertimana yang dialami di waktu penyiaran drama siri Nur Kasih hampir 10 tahun yang lalu.

Drama-drama yang menyayat hati seperti inilah yang membuat stesen TV seperti TV3 menjadi pilihan utama rakyat terutamanya surirumah yang 'membawang' (menjadikan drama sebagai bahan sembangan hangat). TV3 adalah stesen TV nombor 1 Malaysia kerana mendapat sambutan penonton yang memberangsangkan melalui rancangan-rancangan drama di slot Akasia (7 malam), Samarinda (10 malam), Cerekarama (9 malam), Dahlia (7 malam), Lestary (9 malam), Zehra (9 malam) dan juga Iris (6 petang).

Tidak dilupai juga 'talk show' seperti Malaysia Hari Ini (MHI) dan Borak Kopitiam, Buletin Utama, Jejak Rasul, Majalah 3, 999 dan banyak lagi yang menjadi ikutan ramai rakyat massa. Tanpa penonton, pihak stesen TV tidak dapat menghasilkan keberkesanan iklan. Tanpa keberkesanan iklan, hilanglah punca pencarian stesen TV untuk membiayai ratusan pekerja di stesen TV. Inilah formula ekonomi yang perlu difahami oleh rakyat. Semoga rakyat tidak lagi meroyan mengenai iklan-iklan di TV. Akhir kata, Selamat Hari Raya dari kami semua di TV3, TV9, 8TV, ntv7, tonton.com.my, xtra.com.my dan CJ Wow Shop.





* kopihangtuah





| mcmlxxv:viii:xxix |

0 comments:

Post a Comment