
www.kopihangtuah.blogspot.com

"Seniman di awan perlu disauhkan kembali ke Bumi nyata"

Sebelum rakyat dapat menerima seni sebagai aliran utama untuk punca pendapatan, ianya perlu memberi kesan ekonomi yang cukup untuk memberi peluang bakal-bakal seniman untuk mengecapi kehidupan yang menjanjikan rezeki yang stabil. Kalau seorang anak meminta dari kedua ibubapanya "Ayah, Mak, saya nak belajar muzik (sebagai contohnya)". Nescaya ibubapa akan menolak idea itu sama sekali. Kononnya bidang iktisas (profesional) yang lain seperti kejuruteraan, perakaunan atau peguaman lebih menjanjikan masa depan yang cerah bagi anak-anak mereka. Sebenarnya, mereka tidak salah. Mereka hanya impikan apa yang terbaik untuk anak-anak. Maka dengan itu, secara keseluruhannya, kita perlu memertabatkan seni secukup tinggi untuk sampai ke tahap relevan yang memadai bagi rakyat menerima seni sebagai bidang profesional yang diterima umum.

Punca akar umbinya ialah masyarakat itu sendiri. Jika masyarakat tidak menerima seni sebagai satu aspek kehidupan yang penting, maka sampai bila-bilalah seni tidak diberi pengiktirafan yang bermakna, atau setakat minimanya, sekurang-kurang diberi peluang untuk berkembang. Memang banyak institut pengajian menawarkan bidang seni untuk siswa/siswi seperti Universiti ITM atau Lim Kok Wing, tetapi graduan-graduan seni masih menghadapi benteng yang mengecewakan apabila perjuangan seni itu hanya boleh mendatangkan pendapatan dari sudut akademia sahaja.

Ada banyak lagi bidang seni yang masyarakat patut menghayati. Sebagai contohnya seni lukis. Tidak banyak yang sanggup membelanjakan wang untuk membeli lukisan sebagai pelaburan. Kalau di Paris atau di New York, pelukis boleh membuat duit yang lumayan. Saya difahamkan bandaraya-bandaraya di Amerika sudahpun mempolisikan peruntukan wang untuk seni bagi projek bangunan. Makna kata, jika sesebuah syarikat ingin membina bangunan, ia mesti melibatkan seni, kebanyakan dalam bentuk 'Sculpture'. Walaupun ini merupakan satu pemaksaan, ianya, mungkin, satu hari nanti akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Lihat saja Menara Berkembar Petronas. Tidakkah banyak pengunjung dari luar negara yang datang ke Malaysia? Mereka (pelancong) membelanjakan wang di negara kita dan dengan secara tidak langsungnya memberi kesan positif kepada ekonomi negara melalui wang pelancongan.

Aku berasa amat sedih. Bukan sahaja sahabat lama yang aku baru jumpa hari ini, malah seminggu yang lalu pun aku berjumpa dengan pengusaha seni 'sculpture' yang memberi ulasan yang sama, iaitu, seni di negara ini tidak boleh buat duit. Sebagai pencinta seni, aku berasa keinginan untuk berkecimpung di dalam bidang peng'komersial'isasi seni untuk memperjuangkan nasib seniman ataupun bakal seniman negara di masa hadapan. Setakat ini aku belum menjumpai aliran yang boleh memberi aku peluang untuk mengais rezeki yang stabil sambil memperjuangkan seni tanahair. Kalaulah diberi peluang, kemungkinan aku akan turut serta inisiatif-inisiatif yang seumpama itu.
Aku bermimpi suatu hari nanti kalau anak aku berkata "Daddy, saya mahu belajar muzik (atau seni lukis, atau seni lakonan, atau seni apa pun)", aku akan dengan senang hatinya berkata "Silakan anak". Tapi apakan daya, aku pun takut untuk membenarkan kehendak yang sedemikian. Tapi apa-apa pun, kita semua, masyarakat secara keseluruhannya perlu barganding bahu memberi peluang kepada seniman dan bakal seniman di negara ini. Bak kata Dato' Ibrahim Hussein sebelum permergian beliau kembali ke Rahmatullah: "Seniman, walaupun tidak praktikal, kami berkarya dari lubuk naluri yang datang dari keperibadian seniman itu sendiri untuk dunia yang kita semua kenali" - translasi dari ucapan beliau di dalam Bahasa Inggeris yang berbunyi "Artists, creative people, we're not practical, we work from the heart. It comes out of your private world and into the world everyone knows"

"Seniman, walaupun tidak praktikal, kami berkarya dari lubuk naluri yang datang dari keperibadian seniman itu sendiri untuk dunia yang kita semua kenali" Kata-kata Allahyarham Dato' Ibrahim Hussein

* kopihangtuah
| mcmlxxv:viii:xxix |
0 comments:
Post a Comment