09 March 2014

MH370 Membuka Mata : Rintihan Hati atau Tuduhan Bodoh Sesetengah Pihak




www.kopihangtuah.blogspot.com




Tumpuan dunia sekarang amat fokus kepada Malaysia bukan sahaja dengan adanya tragedi MH370 ini, malah, sejak beberapa hari yang lepas sudah ada pemangkin perhatian hasil isu perkataan Allah yang dialih bahasa di dalam komik Ultraman dan juga isu Dato' Sri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah dengan hukuman penjara 5 tahun oleh mahkamah atas tuduhan meliwat.


ALAM kebingungan kita menelan air liur dan menitis air mata menerima tragedi hilangnya pesawat Malaysia Airline System (MAS) MH370 pagi semalam, ada pula manusia-manusia yang tidak sensitif di ruang media sosial seperti Facebook dan Twitter. Apa yang ketara adalah kebodohan mereka. Sungguh tidak diduga adanya manusia-manusia yang membuat tuduhan-tuduhan sewenang-wenangnya. Ada yang menuduh bahawa ini semua konspirasi Kerajaan untuk menutup perhatian rakyat daripada isu-isu politik seperti Pilihanraya Kecil Kajang dan hukuman penjara 5 tahun Dato' Sri Anwar Ibrahim. Mereka juga menggambil kesempatan untuk menekan lagi suasana yang kononya Kerajaan tidak efisyen atau efektif dalam mengendalikan tindakbalas krisis seperti ini. 
 
Yang paling menyedihkan ialah ada di kalangan mereka yang tidak berhati sensitif menggubal jenaka ataupun mencaci dan mempersendakan tragedi di kala keluarga mereka yang hilang bersedih. Antara yang mengejutkan ialah komen seperti, "Biarkan mereka mati. Pergi Beijing nak buat maksiat lah tu." Adakah ini orang kita? Bukankah budaya kita budaya yang lemah lembut gemalai. Sifat kusut ini amatlah memalukan bangsa dan negara. Seelok-eloknya mereka ini dibuang negara, ataupun, jika kita mahu bersifat bodoh dan dungu seperti mereka, kita juga boleh berkata, "Mungkin kau yang sepatutnya tersekat di dalam MH370."
 
Alhamdulillah di kalangan kita banyak juga yang berfikiran positif. Yang pertamanya pihak Kerajaan dan juga MAS yang bertungkus-lumus menguruskan tragedi ini. Alangkah ringan beban di bahu apabila pertolongan gerak khas mencari pesawat MH370 dibantu oleh negara-negara jiran seperti Singapura, Vietnam, Filipina dan juga China. Tidak ketinggalan Amerika Syarikat yang datangnya dari arah Pasifik walaupun pada firasat ramai, mungkin ada udang di sebalik batu. Walau bagaimana pun, pertolongan amat diperlukan. Rakyat secara keseluruhannya merintih mengenangkan keperitan keluarga mereka yang di dalam pesawat MH370. Banyak yang berdoa, bersolat hajat di masjid-masjid dan ada juga yang berdoa di gereja, kuil mahupun di tokong.
 
Tumpuan dunia sekarang amat fokus kepada Malaysia bukan sahaja dengan adanya tragedi MH370 ini, malah, sejak beberapa hari yang lepas sudah ada pemangkin perhatian hasil isu perkataan Allah yang dialih bahasa di dalam komik Ultraman dan juga isu Dato' Sri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah dengan hukuman penjara 5 tahun oleh mahkamah atas tuduhan meliwat. Bayangkan yang ini semua mendapat liputan agensi berita dunia seperti BBC. Diharap tumpuan dunia sebegini boleh diketengahkan untuk menyelesaikan isu MH370 yang kini bergelumang dengan pelbagai teori konspirasi pengganas dan politik antarabangsa.
 
Di dalam keresahan kita menunggu-nunggu apa akan diwartakan perihal MH370, marilah kita sama-sama berdoa untuk keselamatan mereka di dalam pesawat MAS MH370. Seperti selalu, blogger Buanaseni tidak gagal untuk menukil puisi semasa apabila adanya peristiwa hangat seperti ini. Dengan izinnya, dipersembahkan semula puisi beliau mengenai MH370 seperti berikut: 
 
 
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


TIGA TUJUH KOSONG

Berpusu-pusu tingkahnya umat
Yang tidak sabar bersolat hajat
Dengan sendunya yang masih
.... belum tersejat
Untuk insan-insan yang tersesat

Ada juga yang gundah gulana
Yang di kuil mahupun di gereja
Dengan gelora titisan air mata
Untuk kehilangan ahli keluarga

Sudah dua kali jelmanya mentari
Yang ujanya tiba di malam hari
Dengan pelbagai teori konspirasi
Untuk gandingan bahu mencari-cari

Sana-sini manusia mengeluh
Kerajaan sedunia turut menyuluh
Dengan pasukan yang berpuluh
Diharap keadaan dapat disembuh

Kini yang tinggal kita bertenung
Menanti cahaya di hujung terowong
Agar pedih tidak lagi diharung
Dari tragedi MH Tiga Tujuh Kosong
Dari misteri MH Tiga Tujuh Kosong
Dari hati
.... yang kekosongan

(Dipetik dari blog Buanaseni - http://www.buanaseni.blogspot.com/)





~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


* kopihangtuah




| mcmlxxv:viii:xxix |

1 comments:

Anonymous said...

Hanya di Malaysia:
- Ibubapa, guru sekolah, pemimpin masyarakat(politik) mendidik anak-anak, murid-murid dan pengikut-pengikut menjadi kurang ajar dan tidak berhemah. Maka lahirlah ibubapa, guru-guru dan pemimpin masyarakt(politik) yang menjadi kurang ajar dan tidak berhemah baik dari segi perkataan dan perbuatan.
Semoga ALLAH menyelamatkan ibubapa, guru-guru, pemimpin-pemimpin masyarakat dari menanam sifat-sifat MUNAFIQUN kepada generasi anak-anak kita bermula dari hari ini.......Amin.

Post a Comment